Monday, September 26, 2011

7 Tipu daya Syaitan ke Atas Umat Islam

ASAL USUL SYAITAN.

Secara umumnya terdapat tiga jenis makhluk yang setiap darinya memiliki asal usul ciptaan yang berbeza:

Malaikat yang dicipta dari cahaya.

Jin yang dicipta dari api.

Manusia yang dicipta dari tanah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan tentang tiga jenis makhluk ini dalam sabda baginda:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.

Diciptakan malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam (manusia)

dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian.[1]

Merujuk kepada tiga jenis makhluk di atas, yang penting untuk diketahui ialah bahan asas ciptaannya dan bukan bagaimana bahan tersebut berbentuk atau diadun. Ini kerana jika dihimpun semua ayat al-Qur’an dan hadis yang sahih berkenaan asal usul malaikat, jin dan manusia, akan ditemui bahawa bahan-bahan tersebut dinyatakan dalam bentuk yang berbeza atau adunan yang berlainan.

Untuk jin umpamanya, dalam hadis di atas disebut bahawa ia dicipta dari nyalaan api. Akan tetapi dalam ayat 27 surah al-Hijr, disebut bahawa ia dicipta dari (نار السموم) “angin api yang amat panas”. Perbezaan ini sebenarnya saling melengkap dan memperinci antara satu sama lain. Yang penting untuk kita ketahui ialah bahan asas untuk ciptaan jin ialah api.

Di antara tiga makhluk ini, manusia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala selepas Dia mencipta malaikat dan jin. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering,

yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.

Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap

ke liang bulu roma (نار السموم). Dan (ingatkanlah peristiwa)

ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia

dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:26-28]

Dalam ayat di atas, dinyatakan bahawa:

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu…”, menunjukkan bahawa jin dicipta sebelum manusia.

“…ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia…”, menunjukkan malaikat sudah sedia ada ketika Allah hendak mencipta manusia.

Setakat ini tidak ditemui nas yang sahih lagi jelas yang menerangkan antara malaikat dan jin, siapakah yang dicipta terlebih dahulu. Apabila Allah dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan ini, bererti ia bukanlah sesuatu yang bermanfaat untuk kita memikirkannya atau mencari jawapanya.

Antara tiga makhluk tersebut, syaitan adalah dari jenis makhluk jin sebagaimana jelas Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat berikut:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis;

ia adalah berasal dari golongan jin.

[al-Kahf 18:50]

Dalam ayat yang lain diterangkan bahawa syaitan berasal dari api, menunjukkan mereka berasal dari jenis jin:

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu

daripada sujud ketika Aku memerintahmu?”

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)

jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

[al-A’raaf 7:12]

Ada pun iblis, maka ia adalah salah satu nama syaitan. Tidak ditemui petunjuk sahih apakah iblis ketua syaitan atau syaitan yang pertama. Sekali lagi, apabila Allah dan dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan “Siapakah iblis?”, bererti ia adalah sesuatu yang tidak penting untuk kita mengetahuinya. Yang penting ialah kita mengetahui bahawa iblis adalah salah satu nama syaitan. Perkaitan antara iblis dan syaitan dapat dilihat pada ayat berikut, setelah iblis enggan sujud kepada Adam:

Allah berfirman (kepada iblis):

“Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!

Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka,

maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua,

sebagai balasan yang cukup.

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu;

dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda

serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;

dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda

dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”.

Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.

[al-Isra’ 17:63-64]


Beberapa Penjelasan Tambahan.

Pertama: Syaitan bukan dari jenis Malaikat.

Sebahagian orang keliru dengan mengatakan syaitan adalah dari jenis malaikat. Mereka merujuk kepada ayat-ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah para malaikat untuk sujud kepada Adam. Salah satu dari ayat tersebut:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kepada Nabi Adam.”

Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis;

ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

[al-Baqarah 2:34]

Berdasarkan ayat di atas dan lain-lain yang semaksud dengannya, mereka mendakwa iblis dan syaitan adalah dari jenis malaikat, maka kerana itulah ia dihukum kerana enggan sujud kepada Adam. Seandainya iblis dan syaitan bukan dari jenis malaikat, nescaya ia tidak akan dihukum kerana enggan sujud kepada Adam.

Kekeliruan ini dapat diluruskan dengan penjelasan bahawa dalam ayat 50 surah al-Kahf, sebagaimana yang dikemukakan di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjelaskan bahawa iblis adalah dari jenis jin. Bahkan dalam ayat 12 surah al-A’raaf, Allah telah menjelaskan pengakuan iblis bahawa ia dari api, bahan asas yang sama dengan asal usul jin.

Ada pun ayat 34 surah al-Baqarah dan yang semakna dengannya, perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang ditujukan kepada para malaikat tidaklah bererti iblis adalah dari jenis malaikat. Ini kerana dalam kaedah bahasa Arab, apabila wujud dua kumpulan di mana satunya besar dan satu lagi kecil jumlahnya, perintah kepada kumpulan yang besar merangkumi kumpulan yang kecil juga. Pada saat itu para malaikat membentuk kumpulan yang besar manakala para jin membentuk kumpulan yang kecil. Maka apabila perintah sujud kepada Nabi Adam ‘alahissalam diseru kepada para malaikat, ia merangkumi para jin juga.

Besarnya kumpulan malaikat, atau jumlah mereka, telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai:

Langit menggeletar dan sudah sememangnya ia menggeletar.

Demi diri Muhammad yang berada di Tangan-Nya, tidak ada sejengkal ruang jua

(di langit) melainkan terdapatnya dahi malaikat yang sedang bersujud,

bertasbih kepada Allah dengan memuji-Nya.[2]

Iblis sedia mengetahui hal ini. Oleh itu apabila ditanyakan “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku (Allah) perintahmu?”, iblis tidak menjawab “Aku tidak sujud kerana perintah hanya dituju kepada para malaikat manakala aku daripada para jin.” Sebaliknya iblis mengakui dia termasuk dalam perintah tersebut namun dia enggan sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat. Perhatikan ayat berikut:

Kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan iblis –

ia tidak termasuk dalam golongan yang sujud.

Allah berfirman: “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?”

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api

sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [al-A’raaf 7:11-12]

Oleh itu iblis dan syaitan adalah dari jenis jin dan bukannya malaikat.

Kedua: Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berkenaan makhluk ghaib.

Manusia terbahagi kepada tiga golongan apabila berbicara berkenaan syaitan:

Mereka yang menafikannya, iaitu mereka yang berkata makhluk ghaib tidak wujud kerana tidak dapat dibuktikan oleh ilmu sains. Maka golongan ini menafikan kewujudan syaitan. Seterusnya mereka mendakwa bahawa yang wujud hanyalah kedudukan jiwa seseorang. Jika jiwanya mengarah kepada yang baik, maka itu adalah jiwa malaikat. Sebaliknya jika jiwanya mengarah kepada yang buruk, maka itu adalah jiwa syaitan. Maka syaitan hanyalah satu gelaran bagi manusia yang lazim berbuat jahat dan keburukan.

Mereka yang menokok-tambahnya, iaitu mereka yang membuat-buat pelbagai cerita berkenaan makhluk ghaib sehingga membingungkan makhluk ghaib itu sendiri. Berkenaan asal-usul syaitan umpamanya, mereka membuat cerita bahawa iblis itu asalnya makhluk yang rajin beribadah selama ribuan tahun. Ada yang membuat cerita bahawa iblis ialah penjaga langit atau penjaga syurga. Banyak lagi cerita yang dibuat sehingga jika dihimpun semuanya, nescaya dapat menghasilkan sebuah buku yang tebal.

Mereka yang berbicara tentangnya berdasarkan petunjuk wahyu, iaitu mereka yang menahan diri dari berbicara berkenaan makhluk ghaib kecuali terhadap apa yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Perkhabaran tersebut diterima sebagaimana adanya tanpa ditambah, dikurang atau diubahsuai maksudnya.

Apa yang sudah dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih adalah mencukupi. Apa yang didiamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia adalah sesuatu yang tidak menambahkan iman, tidak menguatkan ketaqwaan, tidak menegakkan agama, tidak memajukan umat dan tidak memasukkan umat ke syurga. Lebih penting, ia tidak bermanfaat untuk manusia melawan pemusuhan syaitan kepadanya.

Golongan ketiga ini berada di pertengahan antara golongan yang menafikan dan golongan yang menokok tambah. Golongan ketiga inilah yang dimaksudkan sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Ada pun hujuh golongan pertama, maka dijawab bahawa tidak semua perkara yang wujud di alam ini dapat dibuktikan oleh ilmu sains. Tidak boleh menafikan sesuatu perkara semata-mata kerana ilmu kita belum menjangkaui perkara tersebut. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Bahkan mereka terburu-buru mendustakan perkara yang fahaman mereka tidak dapat meliputi

segala isi pengetahuannya. [Yunus 10:39]

Bahkan ilmu itu sendiri bersifat relatif, apa yang tidak diketahui hari ini mungkin diketahui pada hari esoknya. Jika 200 tahun yang lalu kita bertanya kepada para ahli sains tentang struktur DNA yang khas bagi setiap manusia, nescaya mereka menafikannya. Ini kerana struktur DNA dalam sel-sel manusia adalah sesuatu yang “ghaib” di sisi para ahli sains 200 tahun yang lalu. Akan tetapi pada masa kini ilmu berkenaan DNA telah menjadi sesuatu yang wujud, tetap lagi luas penggunaannya.

Maka apa yang ghaib di sisi ilmu sains tidak semestinya ghaib dari alam ini. Apatah lagi ilmu berkenaan yang ghaib tersebut dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Manusia amat jauh dari menjangkauinya, maka bagaimana mungkin mereka menafikannya. Padahal ilmu Allah tidak terbanding dengan ilmu manusia:

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta),

dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis

Kalimah-kalimah (ilmu-ilmu) Allah itu ditulis.

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Luqman 31:27]

Ada pun golongan kedua yang menokok tambah, sebahagian dari tokok tambah tersebut ada yang mereka ambil dari riwayat-riwayat yang tidak diketahui asal-usulnya. Sebahagian lagi mereka buat sendiri untuk menghebatkan cerita dan menarik perhatian orang. Semua ini sia-sia belaka kerana apa yang bermanfaat untuk diketahui oleh manusia berkenaan syaitan telah pun dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-nya. Ia boleh didapati dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Apa yang tidak dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bererti ia adalah sesuatu yang tidak bermanfaat langsung dari sudut apa jua.

Merujuk kepada riwayat-riwayat yang tidak diketahui asal-usulnya, sebahagian darinya boleh didapati dalam kitab-kitab tafsir al-Qur’an. Akan tetapi tujuan riwayat-riwayat itu dikemukakan oleh para pengarangnya bukanlah untuk dijadikan hujah, tetapi sekadar untuk menerangkan kebatilannya. Antara tokoh yang mengemukakan riwayat-riwayat itu ialah Imam Ibn Katsir rahimahullah (774H). Setelah mengemukakan riwayat-riwayat itu, beliau mengkritiknya dengan berkata:

Sehubungan dengan masalah iblis ini, banyak sekali perkataan-perkataan yang diriwayatkan dari ulama’ Salaf tetapi kebanyakannya bersumber dari nukilan-nukilan Israiliyat (kisah-kisah umat Bani Israil dan Nasrani). Hanya Allah sajalah yang mengetahui kenyataan dari kebenaran sebahagian besarnya. Di antara berita Israiliyat itu dipastikan kedustaannya kerana bertentangan dengan pegangan yang ada pada kita. Keterangan yang terdapat di dalam al-Qur’an sudah cukup tanpa memerlukan lagi berita-berita terdahulu dari kaum Bani Israil kerana sesungguhnya berita-berita itu tidak terlepas dari penggantian, penambahan dan pengurangan.

Mereka telah menuangkan banyak hal lain ke dalam berita-berita itu, sedangkan di kalangan mereka (Bani Israil), tidak terdapat para penghafal yang benar-benar ahli, yang dengan hafalannya itu mereka dapat terhindar dari penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang berlebihan dan kepalsuan yang dilakukan orang-orang yang batil.

Lain halnya dengan apa yang dilakukan umat ini (Islam), mereka memiliki para imam, para ulama’, para pemimpin, orang-orang yang bertaqwa, berbakti dan yang pandai dari kalangan para cendekiawan yang tajam lagi mempunyai hafalan yang dapat diiktiraf. Mereka telah menghimpun dan mencatat hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menjelaskan darjat sahih, hasan dan dhaifnya. Mereka menjelaskan hadis yang mungkar, maudhu’, matruk dan yang makzub. Bahkan mereka memperkenalkan orang-orang yang membuat-buat hadis palsu, orang-orang yang dusta, orang yang tidak dikenal dan sebagainya, lengkap dengan kedudukan masing-masing.

Semua itu dimaksudkan untuk memelihara keutuhan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, penutup para Rasul dan penghulu umat manusia, agar janganlah disandarkan kepada baginda suatu kedustaan atau suatu hadis yang pada hakikatnya baginda tidak pernah menyampaikannya. Semoga Allah melimpahkan keredhaan-Nya kepada mereka dan memberi mereka pahala yang memuaskan serta menjadikan syurga Firdaus tempat menetap mereka.

Sikap menafi atau menokok tambah bukan sahaja terhadap asal usul syaitan tetapi juga terhadap ciri-cirinya. Ada pun Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, semua ciri-ciri syaitan diterima asalkan ia dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, sekali pun sebahagian darinya agak sukar untuk dicerna oleh logik akal.

ARTKEL TERKAIT



No comments: